KUALA TERENGGANU, 1 April- FAMA Terengganu akan menganjurkan Pasar Tani Syawal Madani melibatkan tiga lokasi di negeri ini.
Ia merupakan program jualan khas bagi umat Islam melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.
Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, tiga lokasi berkenaan ialah Pasar Tani Kuala Berang pada 17 April ini, Pasar Tani Hiliran pada 20 April dan Pasar Tani kekal di Cukai Kemaman pada 21 April.
Sebanyak 2,000 ekor ayam, satu tan daging dan ikan serta 500 kilogram sayur-sayuran antara komoditi yang akan dijual dengan harga penjimatan.
"Jadi kalau raya dalam 22, 23 ini sedang eloklah untuk persiapan raya yang mana kita bawa pelbagai barangan dengan harga yang menarik.
"Insya-Allah 5 hingga 20% lebih murah jadi datanglah beramai-ramai.
"Ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran itu komoditi utama yang akan dapat pengurangan insya-Allah," katanya.
(Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim)
Sementara itu, ketika ditanya mengenai bekalan telur, Nukman berkata FAMA Terengganu telah melakukan program intervensi telur bagi memastikan tidak terputus bekalan.
Bermula Disember lalu pihaknya membawa masuk telur antara 2,000 hingga 3,000 papan seminggu.
Jumlah itu meningkat kepada 5,000 papan seminggu sebagai persiapan Ramadan dan Aidilfitri.
Tambah beliau, keutamaan kepada tiga daerah yang kritikal iaitu Kuala Terengganu, Setiu Dan Besut.