fb fb fb fb fb

249 program Jualan MADANI di Perlis, nilai jualan RM3.208 juta

Foto RTM

KANGAR, 4 Disember - Sebanyak 249 program Jualan MADANI dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis setakat 3 Disember lalu, dengan nilai jualan mencecah RM3.208 juta.

Manakala nilai penjimatan kepada pengguna menerusi Jualan Agro MADANI ialah sebanyak RM782,216.

Menurut Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan dalam kenyataan, sebanyak 242 penganjuran Program Agro MADANI melibatkan outlet peruncitan, pasar tani, perkarangan pejabat FAMA negeri, masjid terpilih serta premis dan lokasi program bersama-sama agensi kerajaan.

Lima program Agro MADANI Khas Sempadan turut dilaksanakan di dua lokasi iaitu Masjid Solahudin Al Ayyubi, Padang Besar dan Masjid Nurul Husna, Wang Kelian

"Secara keseluruhannya, FAMA Perlis menyasarkan sebanyak 233 Program Jualan Agro MADANI sepanjang tahun ini dengan nilai jualan sebanyak RM2.65 juta dengan penjimatan sebanyak RM804,000 namun kini melebihi sasaran awal yang ditetapkan" kata Anzara.

Selain itu, seramai 2,014 usahawan bawah bimbingan FAMA Perlis terlibat dalam pelaksanaan Jualan Agro MADANI yang memberi manfaat kepada 270,688 isi rumah di Perlis mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Sepanjang tahun 2023, sebanyak 251 program Jualan Agro MADANI  telah dilaksanakan melibatkan 1,342 usahawan yang memberi manfaat kepada lebih 78,000 rakyat Perlis dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.05 juta.

TETITIA YUSOFF