KLANG, 27 Julai – FAMA Fest 2025 @ Selangor berjaya mencatat nilai jualan melebihi RM800,000 sepanjang empat hari penganjuran bermula 24 Julai lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu membuktikan FAMA Fest bukan sekadar festival jualan, sebaliknya platform memperkasa petani dan usahawan tempatan.
“FAMA Fest bukan hanya festival jualan produk agromakanan, tetapi manifestasi matlamat Kerajaan MADANI dalam membina ekosistem agromakanan yang mampan, berdaya saing dan berorientasikan rakyat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini, hari ini.
FAMA menyasarkan jualan keseluruhan RM5.5 juta bagi siri FAMA Fest 2025, yang telah berlangsung di empat lokasi iaitu Sarawak, Johor, Perak dan Selangor.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kementeriannya untuk memartabatkan buah-buahan dan makanan tempatan sebagai identiti negara.
Menurutnya, negara seperti Thailand dan Jepun dijadikan rujukan dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) buah bermusim sepanjang tahun.
“Contohnya, durian MARDI baharu yang dihasilkan di Kuala Kangsar kerana rasa dan kualitinya yang tinggi. Kita mahu jamuan rasmi negara sarat dengan hasil tempatan, bukan produk import,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengunjung dan usahawan yang menjayakan festival itu serta menyeru orang ramai terus menyokong produk tempatan demi memperkukuh ekonomi agromakanan negara.