fb fb fb fb fb

Semangat rakyat pacu kemajuan negara

Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 27 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas semangat dan dedikasi yang ditunjukkan dalam memajukan negara.

Dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau hari ini, Perdana Menteri menyifatkan setiap rakyat sebagai wira yang memainkan peranan penting, dari pelbagai lapangan termasuk pendidikan, pertanian, hingga ke pentas antarabangsa.

“Setiap keringat adalah cahaya. Setiap tugas ialah bakti. Setiap rakyat adalah wira yang membina tanah air ini dengan setia,” katanya.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa kekuatan dan kemajuan Malaysia tidak terletak pada satu pihak semata-mata, sebaliknya terhasil daripada kerjasama dan penglibatan semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Malaysia berdiri megah kerana semangat ini. Ayuh, kita terus melangkah bersama sejiwa, sebangsa,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai untuk menyertai kempen Bersama Malaysiaku melalui pautan rasmi bersamamalaysiaku.malaysiamadani.gov.my.

Kempen tersebut antara lain bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN