fb fb fb fb fb

Fahmi umum bertanding Naib Presiden PKR

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengedarkan kurma dan bubur lambuk ketika melawat bazar Ramadan di Bazaria Pantai

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden parti berkenaan pada pemilihan 24 Mei ini.

Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan beberapa pemimpin dan rakan-rakannya dalam parti.

"Penilaian dan perbincangan mendapati terdapat ruang untuk saya menabur bakti kepada parti dan juga setelah berbincang dengan cabang Lembah Pantai dan rakan-rakan di peringkat akar umbi ketika menjelajah ke negeri-negeri.

"Bila tiba masa nanti, insya-Allah saya akan menghantar pencalonan," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kurma dan bubuk lambuk kepada orang ramai ketika lawatan ke Bazar Ramadan Bazaria, Pantai Dalam di sini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau dan pasukannya akan merangka strategi yang berbeza untuk memastikan kemenangan pada pemilihan parti kali ini.

“Pertandingan dalam Keadilan (PKR) adalah pertandingan dalam keluarga, kita berusaha untuk bertanding secara sihat, elak daripada elemen tidak baik. Ini juga pesanan daripada Presiden (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Sudah pasti bagi saya dan pasukan akan tawarkan idea terbaik kami, sebab Keadilan juga merupakan parti yang berpandangan jauh ke depan dan dalam kalangan anggota, mereka ingin melihat apakah idea-idea yang cuba dibawa selain usaha dan ikhtiar daripada kepimpinan," katanya.

Fahmi menjadi pemimpin terbaharu yang mengumumkan hasrat untuk bertanding selepas empat penyandang menyatakan akan mempertahankan jawatan naib presiden iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Nurul Izzah Anwar.

TETITIA YUSOFF