KUALA LUMPUR, 7 April- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Datin Noor Azizah Azizul Hassan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Fahmi menyatakan bahawa industri perfileman tempatan kehilangan pelakon veteran yang satu ketika dahulu mewarnai dunia perfileman negara.
"Lakonan Allahyarhamah Datin Noor Azizah Azizul Hassan dalam filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 60-an merupakan antara kegemaran peminat filem Melayu.
"Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," kata Fahmi.
Terdahulu, Allahyarhamah yang meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Ipoh, Perak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh.