fb fb fb fb fb

Fahmi ucap takziah atas pemergian Presiden FDAM 'Mat London'

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah atas pemergian Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London yang menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 5.57 pagi tadi akibat jangkitan paru-paru.

Menerusi hantaran di media sosial, beliau mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Dr. Ahmad Ibrahim atau Mat London, pelakon dan pengarah, yang telah meninggal dunia hari ini.Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah," katanya.

Kesihatan Mat London, 74 tahun dilaporkan kian merosot selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun lalu.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.

Menurut anak Allahyarham, Salmany Akir Ahmad, bapanya seorang yang penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anak-anak duduk berasingan.

Katanya, Allahyarham seorang seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, beliau berjuang untuk memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya.


(Foto Fail: Allahyarham Ahmad Ibrahim atau Mat London)

Media Baharu