fb fb fb fb fb

Kebocoran data peribadi: JPDP siasat laman sesawang Misi Rakyat

(Pengasas laman sesawang Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi)

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan insiden ketirisan data peribadi laman sesawang Misi Rakyat milik syarikat Bangsa Bertauhid Sdn. Bhd.

JPDP menerusi kenyataan memaklumkan, pengasasnya Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi juga telah dipanggil hadir ke pejabat itu bagi prosedur rakaman percakapan semalam.

JPDP bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya berlakunya sebarang pelanggaran di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Susulan dakwaan tersebut, JPDP telah menerima laporan insidien ketirisan data laman sesawang Misi Rakyat daripada MyCERT pada 4 Julai lalu.

"Pada hari yang sama, JPDP telah menghubungi syarikat Bangsa Bertauhid Sdn. Bhd. untuk mendapatkan pengesahan berkenaan insiden dan sampel data yang terlibat.

"JPDP juga telah mengarahkan syarikat tersebut untuk menjalankan siasatan dalaman dan melengkapkan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN)," kata JPDP hari ini.

JPDP menggesa agar semua syarikat dan organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial untuk mematuhi Prinsip, Peraturan dan Standard Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709.

"Syarikat dan organisasi juga diingatkan agar lebih berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelak berlakunya insiden ketirisan data peribadi," katanya.

Berdasarkan semakan Misi Rakyat adalah aplikasi dalam talian yang mengendalikan pelbagai misi seperti jualan makanan - Misi Food, bantuan kemanusiaan - Misi Bantuan dan beberapa misi lain yang belum diaktifkan.

Media Baharu