PUTRAJAYA, 1 Ogos - 'Sekiranya dipanggil JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor), saya sedia untuk tampil,' kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berhubung dakwaan berucap unsur politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor pada Ahad lalu.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) juga sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang menabur fitnah dan cuba mempolitikan isu tersebut.
"Ada anak qariah masjid tersebut telah memuat naik video penuh tentang kejadian tersebut.
"Dalam video itu, menunjukkan saya dijemput oleh ahli jawatankuasa masjid untuk memberi penjelasan berhubung isu pengharaman kumpulan muzik The 1975 dan pembatalan konsert Good Vibes Festival.
"Saya tidak bercakap langsung apa-apa isu politik ataupun mengenai pilihan raya," katanya yang kesal dengan tindakan beberapa pihak kerana cuba mempolitikkan isu tersebut.
(Fahmi FadzilĀ meluangkan masa bersama jemaah Masjid Nurul Yaqin,
Rawang untuk menunaikan solat Zuhur/FOTO FB Fahmi Fadzil)
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program Hari Sektor Awam Malaysia di sini hari ini.
Beberapa hari ini tular di media sosial beberapa keping gambar Fahmi dengan dakwaan beliau berucap mengenai isu politik di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang.
Terdahulu, Fahmi menerusi hantaran Facebooknya turut menafikan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Fahmi menjelaskan beliau singgah ke masjid berkenaan untuk solat Zuhur berikutan kedudukannya yang paling dekat dengan lokasi program yang perlu dihadirinya.