KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan berkenaan peralihan sokongan masyarakat Felda kepada Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Pelangai.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata menerusi skor data ketika PRK berkenaan, pengundi masih bagi DUN itu masih memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
"Keputusan PRK DUN Pelangai agak menarik kerana tiga Felda di DUN itu Kemasul, Kemahal dan Chemomoi menunjukkan saluran satu bagi golongan warga emas masih memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Perpaduan.
"Kenyataan itu tidak benar kerana di dua Felda lagi bagi saluran empat atau lima iaitu saluran orang muda majoritinya menunjukkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, jadi saya sangkal kenyataan itu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pos Sedunia 2023 di ibu pejabat Pos Malaysia di ibu negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu bercakap kepada media ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkenaan gabungan itu mendapat sokongan penduduk Felda di DUN tersebut.
Pada PRK DUN Pelangai Sabtu lepas, Calon BN Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi dengan majoriti 2,949 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang memperoleh 4,375 undi serta calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli yang meraih 47 undi.
(Fahmi Fadzil)