fb fb fb fb fb

Fahmi dakwa TikTok turunkan kandungan konflik Palestin-Israel secara sistematik

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Platfrom media sosial utama TikTok dan META didakwa menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel secara sistematik.

Itu pendedahan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil yang menunjukkan beberapa bukti ini termasuk menurunkan kandungan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Malaysia bersama Palestin baru-baru ini.

Tambah Fahmi, beliau juga menerima aduan daripada orang ramai bahawa kandungan mereka dan siaran langsung berkaitan himpunan itu telah disekat dan diturunkan daripada platform berkenaan.

"Saya agak terkejut kerana ada pihak yang memaklumkan kepada saya kandungan melibatkan ucapan perdana menteri telah diturunkan oleh pihak TikTok.

"Saya bagi contoh, satu kandungan berserta dengan beberapa gambar dari Gaza.. berdasarkan maklum balas dari pihak TikTok mereka mengatakan ada gambar keganasan.

"Tetapi bila saya teliti balik kandungan itu, ia adalah seorang ayah yang mengangkat mayat anaknya yang diselimut.

"Tidak ada gambar darah, tidak ada yang orang kata macam yang menggerunkan. Bagi saya, ini tak masuk akal…Saya sangat-sangat marah dengan pihak TikTok dan kita telah memberi satu mesej yang kalau bagi saya mereka tak faham ini, kita kena fahamkan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Kemanusian Palestin Bagi Penjawat Awam, Peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Fahmi menegaskan bahawa rakyat mempunyai hak bersuara dalam mempertahankan isu Palestin dari dihalang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membuat satu teguran keras kepada TikTok dan mengaturkan pertemuan mengenai isu tersebut termasuk Meta," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN