fb fb fb fb fb

Fadillah tiba di Brussels, bawa misi kelapa sawit ke EU dan London

(Ketibaan Datuk Seri Fadillah)

BRUSSELS, 29 Mei- Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof selamat tiba di Brussel, Belgium pada pukul 5.30 pagi tadi waktu Malaysia.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan tertinggi Kesatuan Eropah, EU bagi membincangkan pelaksanaan peraturan bebas penebangan hutan EUDR.

Misi ini merupakan kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit CPOPC.

EUDR telah diperkenalkan oleh EU pada November 2021 bagi mengehadkan penebangan hutan akibat penggunaan komoditi serta produk pertanian dari seluruh dunia.

Misi ini juga akan turut menumpukan aspek cadangan undang-undang lain yang sedang dipertimbangkan oleh EU seperti Peraturan Buruh Paksa, Arahan Tuntutan Hijau dan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui II yang memerlukan perhatian pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit.

Ini merupakan lawatan pertama Datuk Seri Fadillah ke Eropah sejak dilantik sebagai timbalan perdana Menteri.

Selepas Brussels, beliau akan ke London, United Kingdom bagi mengadakan lawatan rasmi selama empat hari bermula 1 Jun.

Dalam rangka lawatan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa Menteri yang berkaitan dengan sektor agrikomoditi selain menyampaikan ucaptama pada forum antarabangsa minyak sawit mampan ISPOF.


(Ketibaan Datuk Seri Fadillah)

Media Baharu