KUALA LUMPUR, 13 November- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada usia 86 tahun pagi tadi.
Fadillah menyifatkan allahyarham sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada negara semasa memegang jawatan Menteri Kewangan, dari tahun 1984 hingga 1991 dan sekali lagi dari 1999 hingga 2001.
"Walaupun saya secara peribadi tidak pernah berkhidmat dalam kerajaan beliau, saya mengikuti perkembangan (sumbangan) beliau. Sebagai seorang menteri, sudah pasti banyak khidmat bakti yang dicurahkan kepada negara," katanya.
Terdahulu, Fadillah tiba di kediaman allahyarham pada pukul 1.30 petang untuk memberikan penghormatan terakhir.
Allahyarham Tun Daim menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Assunta dekat Petaling Jaya, Selangor pada pukul 8.21 pagi.