JOHOR BAHRU, 19 Disember- Enam pelajar Institusi Pengajian Tempatan (IPT) berjaya meraih Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2023 anjuran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) manakala dua lagi merangkul anugerah bagi kategori utama.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri komited membantu mahasiswa Johor agar terus cemerlang dalam pendidikan sekali gus menjayakan agenda Maju Johor menjelang tahun 2030.
"Saya yakin dalam sanubari anak-anak muda, mahasiswa mahasiswi yang hadir pada hari ini, ada jiwa yang berkobar-kobar, mahu menyumbang dari segi idea dan juga tenaga untuk membantu membangunkan negeri yang kita cintai. Saya doakan agar tuan puan, saudara saudari terus cemerlang dalam jurusan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2023, di sebuah hotel di sini.
Sementara itu, pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Nur Raudhatul Jannah Abdul Rahman yang aktif dalam pelbagai bidang membawa pulang anugerah Ikon Siswa Johor (kepimpinan) bagi kategori individu.
"Saya juga berkecimpung dalam satu projek duta mahasiswa di bawah Yayasan Pelajaran Johor di mana kami membawa projek kosmetologi berkenaan dengan spa dan sauna di UiTM Segamat dan kita berkolaborasi juga dengan golongan kurang upaya di beberapa pusat PDK di kawasan Segamat sendiri," katanya.