KOTA TINGGI, 5 Februari - Hasrat enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang menunggu bot untuk keluar dari negara ini tidak kesampaian apabila mereka diberkas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) di Ladang Bukit Batu Mas, Pengerang Kota Tinggi, Johor.
Tangkapan pada pukul 10.30 pagi tadi melibatkan lima lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 39 tahun.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia memaklumkan pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan di lokasi itu pada pukul 9.20 pagi.
"Kesemua mereka ditahan bersama sebuah pacuan empat roda yang ditinggalkan tekong dan lima buah motosikal yang digunakan mereka ke lokasi itu. Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM30,000," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kesemua PATI berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.