JOHOR, 6 Januari - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 kepada 18 tahun.
Pindaan Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 itu diluluskan selepas dibahas 2 wakil ADUN kerajaan dan dua pembangkang.
Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, pindaan had umur baharu untuk ADUN Johor itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan menjadikan demokrasi yang lebih sihat dan progresif pada masa akan datang.
"Kita harus melihat pindaan ini secara holistik, memfokuskan kepada pemberdayakan golongan muda. sesungguhnya komitmen kerajaan negeri dalam mempedayakan golongan muda. Tak perlu dipersoalkan seperti contoh agenda Orang Muda Johor (OMJ) telah dijenamakan dan diperuntukkan sejumlah RM38.8 juta" Katanya di sini.
Beliau berharap pindaan berkenaan dapat melahirkan semangat demokrasi sihat khususnya dikalangan orang muda dan bukan pentas persepsi semata-mata.
Turut membahaskan pindaan ke atas enakmen tersebut ialah dua ADUN Kerajaan iaitu ADUN Panti Hahasrin Hashim dan ADUN Tenggaroh K. Raven Kumar dan 2 pembahas pembangkang, ADUN Pulai Sebatang Mohammad Taqiuddin Cheman dan ADUN Stulang Andrew Chen Kah Eng.
Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat kemudiannya memaklumkan persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan.
Dengan perkembangan berkenaan Johor menyertai jejak Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, membenarkan pindaan keatas Undang-Undang Tubuh Kerajaan bagi menurunkan umur calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun.
Sidang DUN pagi tadi turut menzahirkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember tahun lalu.