KUALA LUMPUR, 6 Januari - Misi bantuan pasca banjir terutama di Klang, Hulu Langat dan Pahang terus dipergiat.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat, berkata lebih 50 misi telah dilaksanakan sejak 22 Disember tahun lalu.
Ia melibatkan 200 orang kakitangan dan sukarelawan daripada 13 agensi di bawah kementerian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
"Sebagai contoh Arkib Negara Malaysia menjalankan kerja-kerja pemulihan dokumen kerana terdapat premis-premis Kerajaan yang dinaiki air. Kita mengambil tindakan untuk memberikan bantuan dan tunjuk ajar bagaimana cara memulihkan dokumen-dokumen tersebut. Begitu juga dalam membantu usahawan kraf kita telah pun melawat beberapa lokasi usahawan kraf itu sendiri dan terdapat hampir 20 lebih usahawan kraf yang terjejas dan mereka ni juga akan kita bantu sama ada bentuk kewangan ataupun pembelian bahan-bahan mentah untuk mereka kembali beroperasi" Katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia.
Tambah beliau, MOTAC juga sedang memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pemilik inap desa yang terjejas banjir.
Pasukan misi bantuan itu juga bersedia ke lokasi banjir di Melaka dan Johor jika diperlukan.