fb fb fb fb fb

Enakmen Ordinan Jenayah Syariah Perak tidak terjejas - Saarani

Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 29 Februari- Enakmen Ordinan Jenayah Syariah Perak masih lagi sah dan berperlembagaan kecuali ianya dicabar dan diisytihar sebagai tidak sah.
 
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tidak menjejaskan Enakmen Ordinan Jenayah Syariah negeri itu.

Beliau turut meluahkan rasa terkilan kerana ada segelintir pihak cuba mengaitkan polemik tersebut dengan mendakwa kononnya ia menggugat kedudukan agama Islam di negara ini.

"Kerajaan negeri tidak pernah sedikit pun mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan syiar Islam daripada terus berkembang subur di negeri ini.

"Malah, sukacita saya memaklumkan dewan yang mulia ini peruntukan bagi memelihara kepentingan dan kesyumulan Islam terus ditingkatkan saban tahun," katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Tahun Kedua Dewan Negeri ke-15 Perak Darul Ridzuan di sini.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata, sebarang pindaan terhadap undang-undang syariah termasuk Enakmen Jenayah Syariah Negeri perlu mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sutan Nazrin Muizzuddin Shah terlebih dahulu.
 
Perkara itu bagi memastikan peruntukan undang-undang dapat dilaksanakan dengan baik dari aspek substantif dan prosedural.

Agensi-agensi agama berkaitan seperti Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Mahkamah Syariah Negeri, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa mengadakan mesyuarat penyelarasan secara berkala.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI