fb fb fb fb fb

Empat spesies burung pemangsa tempatan sesuai untuk ladang sawit

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pertanian dan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama-sama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menemui empat spesies burung pemangsa tempatan baharu untuk mengawal populasi haiwan perosak yang menjejaskan perladangan kelapa sawit.

Menerusi kajian berkenaan empat spesies burung yang telah dikenal pasti ialah Burung Lang Sikap (Accipiter trivigatus), Burung Lang Kuik/Berjambul (Spilornis cheela), Pekaka Dada Putih (Halcyon smyrnensis), dan Pekaka Sungai (Todiramphus chloris).

Dr. Maisarah Burhanuddin dan Prof. Madya Dr. Badrul Azhar Md. Sharif yang menyertai kajian itu berkata, kombinasi berkenaan berpotensi besar dalam mengawal populasi tikus perosak di kawasan pertanian secara mudah, selamat dan kos minimal.

"Dalam hal ini, kehadiran haiwan pemangsa sangat penting bagi membantu masyarakat dalam mengawal populasi haiwan perosak menerusi ekosistem semula jadi.

"Dengan memelihara keseimbangan ini, masyarakat berupaya melakukan aktiviti pertanian pertanian yang mesra alam, selamat, jimat serta berdaya tahan tanpa bergantung kepada penggunaan racun kimia," katanya dalam satu kenyataan.

Perkara itu disebabkan kelapa sawit mudah terdedah kepada perosak seperti kumbang badak (Orycytes rhinoceros), kulat ganoderma dan ulat bungkus (Metisa plana) yang menyebabkan penyakit busuk pangkal batang pokok sawit.

Namun, terdapat perosak lain tikus daripada spesies genus Rattus sp. yang sering menyebabkan kerosakan pada buah sawit.

Jadi sebagai alternatif lebih hijau dan lebih selamat, haiwan pemangsa seperti burung pungguk jelapang (Tyto javanica) digunakan sebagai kawalan semula jadi untuk mengurangkan populasi tikus di ladang sawit, lebih mesra alam untuk mengawal haiwan perosak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI