fb fb fb fb fb

Pasukan CDA ditubuhkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

PAHANG, 9 Oktober - Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah menubuhkan pasukan Civil Defence Auxiliary (CDA) bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, menjadikannya pasukan pertama seumpamanya dalam kalangan pejabat-pejabat kerajaan negeri di seluruh negara.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menyatakan bahawa penubuhan pasukan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan terjamin terutama dalam organisasi.

"Ini adalah satu lagi tambahan pasukan uniform selain daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain. Kita menyedari bahawa peningkatan penduduk semakin ramai dan kita tidak dapat menduga apa yang mungkin berlaku pada kita atau keluarga kita. Insya-Allah, APM akan tampil sebagai organisasi yang membantu sekiranya kita ditimpa perkara-perkara yang tidak diingini," kata Wan Rosdy.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Civil Defence Auxiliary (CDA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan menerima watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam).

Pasukan CDA tersebut juga akan memberikan bantuan awal terhadap sebarang kecemasan yang berlaku di premis kerajaan negeri.

Selain itu, pasukan ini bertujuan membantu pihak keselamatan semasa berlakunya musibah atau bencana, sekali gus meringankan beban pasukan keselamatan yang sedia ada.

Sebanyak 80 orang kakitangan pejabat SUK telah menerima latihan daripada APM Pahang yang merangkumi rawatan luka dan kepatahan, Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR), teknik menyelamat, ikatan dan simpulan serta kawad kaki.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menggesa agar penubuhan CDA diperluas kepada agensi-agensi lain bawah Kerajaan Negeri bagi memperkukuh usaha keselamatan di Pahang.

TETITIA YUSOFF