
PAPAR, 7 Mac – Bekalan tenaga elektrik di kawasan Parlimen Papar kini lebih stabil apabila empat projek pencawang elektrik baharu telah siap dan mula beroperasi.
- Pencawang dibina di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang.
- Pencawang di Kampung Takis siap pada Februari dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada April.
- Projek dilaksanakan susulan aduan susutan voltan; dijangka mengurangkan gangguan, elak kerosakan peralatan dan menampung kapasiti meningkat.
Empat projek pencawang elektrik tersebut dibina di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, satu lagi projek pencawang elektrik baharu di Kampung Takis, siap pada Februari lepas dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada April depan.
Pembinaan pencawang elektrik ini susulan aduan diterima berhubung isu kesusutan voltan bagi kediaman dan premis di sekitar Kampung Takis.
Keadaan itu menjejaskan kelancaran penggunaan elektrik harian, selain menyebabkan kerosakan peralatan dan risiko berlaku litar pintas sekali gus mengganggu aktiviti harian penduduk.
Dengan beroperasi sepenuhnya pencawang baharu ini kelak, ganguan elektrik dijangka dapat diatasi sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil, memudahkan urusan harian penduduk serta dapat menampung kapasiti penggunaan elektrik yang semakin meningkat di kawasan sekitar.
Datuk Armizan ditemui pemberita selepas meninjau Projek Pembinaan Pencawang Elektrik di Kampung Takis.