KUALA LUMPUR, 4 Disember- Jumlah keseluruhan penduduk terjejas banjir di tujuh negeri terus mencatatkan penurunan petang ini kepada 60,413 orang berbanding 66,189 orang pagi tadi susulan situasi yang beransur pulih di dua negeri iaitu Melaka dan Pahang.
Di KELANTAN, jumlah penduduk terjejas berkurang kepada 40,230 orang ditempatkan di 93 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 12,963 keluarga setakat pukul 3.00 petang ini berbanding 43,745 orang pagi tadi.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat kini mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 20,825 orang, diikuti Pasir Mas (18,953), Kota Bharu (403) dan Bachok (49).
Di TERENGGANU, jumlah penduduk terjejas turut berkurangan kepada 12,076 orang yang berada di 48 PPS setakat pukul 2.00 petang ini berbanding 14,294 pagi tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan Kuala Nerus kini menjadi daerah paling terjejas dengan 6,415 orang daripada 1,689 keluarga berlindung di 15 PPS manakala Dungun 3,317 orang (794 keluarga) di 18 PPS dan Kuala Terengganu 1,998 (487 keluarga) di tujuh PPS.
Selain itu, Marang mempunyai 160 orang (36 keluarga) di tiga PPS, Setiu 153 orang (27 keluarga) di empat PPS, manakala Hulu Terengganu 33 orang (12 keluarga) di satu PPS.
Berdasarkan aplikasi InfoBencana JKM, jumlah penduduk terjejas banjir di KEDAH terus berkurangan kepada 6,133 orang setakat 3.00 petang ini berbanding 6,165 orang pagi tadi, manakala penduduk terjejas banjir di JOHOR meningkat sedikit kepada 1,075 orang petang ini, berbanding 1,068 orang pagi tadi.
Di PERAK juga mencatatkan peningkatan penduduk terjejas setakat 3.00 petang ini iaitu 216 orang di tujuh PPS, berbanding 442 orang di 10 PPS pagi tadi.
Sementara itu, MELAKA dan PAHANG merekodkan kurang 200 orang penduduk terjejas banjir di kedua-dua negeri tersebut dengan MELAKA kekal 172 orang daripada 44 keluaga di dua PPS, manakala 54 orang daripada 11 keluarga di PAHANG masih ditempatkan di empat PPS petang ini.