BATU PAHAT, 12 Jun- Empat maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan treler di kilometer 123.8 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Batu Pahat, Johor, kira-kira pukul 9.15 malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan, kemalangan dipercayai berlaku ketika treler dipandu lelaki berusia 47 tahun berhenti di tengah jalan gara-gara mengalami kerosakan.
Ketika mendapatkan bantuan untuk mengalihkan treler, kenderaan tersebut dilanggar dari arah belakang oleh kereta mangsa.
"Pemandu lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama-sama dua penumpang wanita warga Vietnam maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Manakala seorang lagi wanita Vietnam, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat," katanya.
Ketiga-tiga wanita berusia antara 19 hingga 32 tahun.
Bagaimanapun pemandu treler selamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.