fb fb fb fb fb

Empat kluster tambah baik pengurusan pelarian, pencari suaka

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 9 Mei - Pengurusan pelarian dan pemohon suaka akan ditambah baik, menerusi empat kluster.

Ini berikutan berlaku peningkatan ketara jumlah golongan itu yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata angka terkini pada Mac lalu menunjukkan 185,760 pelarian dan pencari suaka memegang kad UNHCR di negara ini, berbanding hanya 75,617 orang yang direkodkan pada 2009.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan memberikan penekanan kepada perancangan dan usaha untuk mengukuhkan peranan dalam pengurusan pelarian serta pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / FOTO FAIL)

"Ini membabitkan mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui penubuhan jawatankuasa serta pasukan khas, serta penentuan status pelarian bagi meningkatkan keupayaan dan pembabitan agensi kerajaan.

"Dua lagi kluster penambahbaikan adalah membabitkan penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka sebagai penyelarasan penguatkuasaan di negara ini, serta penyediaan sistem sokongan sosial kepada pelarian berdaftar dengan kerajaan," katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Isnin.

Mengulas peningkatan angka pelarian dan pencari suaka itu, Ahmad Zahid berkata, pelarian dari Myanmar terdiri etnik Rohingya mencatatkan bilangan tertinggi dengan 160,332 orang, diikuti Pakistan (7,109), Yaman (3,466), Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini selaras mandat serta fungsi penubuhannya.

Beliau berkata, ia penting supaya isu berkaitan pengurusan pelarian dan pencari suaka tidak mendatangkan beban kepada kerajaan serta rakyat di negara ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan mempertimbang untuk mengadakan perjanjian dengan UNHCR berhubung skop peranan serta tanggungjawab suruhanjaya itu dalam soal berkaitan pelarian dan pencari suaka.

Media Baharu