(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan empat inisiatif strategik berkaitan digital bagi membolehkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) dan Syarikat Pertengahan (MTC) mengembangkan perniagaan mereka.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin, inisiatif itu bertujuan merancakkan lagi pasaran modal dan sekaligus membantu ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Ia termasuk membuka permohonan baharu bagi pendaftaran pengendali pasaran pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) baharu dengan penyelesaian dan cadangan nilai syariah.
Beliau turut menambah, "pendaftaran pengendali P2P baharu memberi tumpuan kepada penawaran instrumen pembiayaan berasaskan hutang oleh MTC dan syarikat lain yang lebih besar.
"Untuk memangkin kawasan pertumbuhan baharu, SC akan menerima permohonan bagi pendaftaran Pengendali Pasaran Diiktiraf-Pertukaran Aset Digital atau RMO-DAX baharu."
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu negara.
Inisiatif lain termasuk penubuhan Dana Inovasi Digital (DIGID) berjumlah RM30 juta bagi menggalakkan pendigitalan pasaran modal.
Pasaran Pembiayaan Alternatif turut dibuka kepada peserta baharu bagi menampung permintaan yang semakin meningkat oleh PKS dan MTC.
Pendigitalan pasaran merupakan keutaamaan SC agar peserta dapat menyesuaikan diri dengan trend digital dan menggunakan teknologi yang menggalakkan inovasi.
(Awang Adek Hussin ditemui pemberita RTM di ibu negara)