
KANGAR, 7 Januari – Empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis akan mengangkat sumpah jawatan esok di Bilik Hijau, Istana Arau.
- Empat Exco Perlis akan mengangkat sumpah esok di Istana Arau untuk melengkapkan pentadbiran negeri.
- Pelantikan segera bertujuan memastikan kelangsungan dan kecekapan operasi jentera kerajaan negeri.
- Abu Bakar tekankan pentingnya menyelaraskan portfolio agar kerajaan negeri berfungsi dengan cekap.
- Tiga wakil rakyat PAS hilang keahlian, menyebabkan kekosongan luar jangka beberapa kerusi DUN.
- Penjawat awam digesa amalkan budaya kerja "Bangkit, Bingkas, Buat" dan pendekatan mesra pelabur.
Ia langkah segera yang diambil bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negeri pasca krisis politik.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pelantikan awal itu penting agar jentera kerajaan negeri dapat berfungsi dengan cekap, terutama dalam menyelaraskan portfolio masing-masing.
“Walaupun kita faham PAS mengeluarkan arahan agar tidak menyertai barisan Kabinet negeri, namun atas pandangan Presiden, kita tetap menghulurkan pelawaan,” katanya kepada media.
Abu Bakar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 28 Disember lalu, menggantikan Mohd Shukri Ramli yang melepaskan jawatan atas kehendak sendiri.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan kemudian mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Sementara itu, dalam amanat kepada penjawat awam negeri di Dewan 2020, Kangar, Abu Bakar menekankan budaya kerja “Bangkit, Bingkas, Buat” demi merancakkan pembangunan Perlis.
“Budaya kerja berdisiplin dan produktif termasuk menjaga waktu makan dan minum ketika bertugas bagi memelihara imej profesional perkhidmatan awam perlu diteruskan bagi menyokong usaha pembangunan negeri,” katanya.
Menurut beliau lagi, pendekatan mesra pelabur dan mesra perniagaan juga diberi perhatian, termasuk usaha meneliti semula prosedur sedia ada bagi mempercepatkan proses kelulusan pelaburan.