ALOR SETAR, 18 Julai - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah tidak hadir 'bersebab' pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 yang diadakan di DUN Kedah, Wisma Darul Aman, di sini pagi tadi.
Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat berkata ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali dan ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin baharu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi dari luar negara.
Manakala ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Zawawi sedang menerima rawatan.
(Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat memaklumkan empat ADUN tidak hadir 'bersebab' pada
sidang DUN hari ini)
Sementara ADUN Kulim, Yeo Keng Chuan memaklumkan keputusan ujian saliva COVID-19 yang dilakukannya menunjukkan garis dua bar dan beliau enggan mengambil risiko untuk hadir ke sidang DUN.
Beliau berkata, kesemua ADUN terbabit telah memaklumkan kepadanya mengenai ketidakhadiran bersebab mereka pada sidang DUN hari ini.
Sidang DUN Kedah kali ini hanya diadakan sehingga tengah hari ini.