DUNGUN, 24 Ogos - Isu peningkatan kadar elaun tugas atas panggilan atau ‘On Call’ akan dicadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk dipertimbangkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan kadar elaun tersebut, yang sebelum ini diusulkan oleh Kumpulan Hartal Doktor Kontrak.
"Saya sangat menyokong peningkatan kadar elaun tugas atas panggilan dan akan mengemukakan syor ini kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan. Kami sudah sepakat, dan insyaAllah saya akan syorkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Kota Putera dan Klinik Kesihatan Paya Datu di Lobi Hospital Dungun, di sini.