fb fb fb fb fb

Elaun ketua kampung, ketua masyarakat di Johor dinaikkan sebanyak RM300

 (Onn Hafiz Ghazi pada sesi penggulungan Persidangan DUN di Kota Iskandar)

ISKANDAR PUTERI, 11 Disember- Kerajaan Negeri Johor bersetuju menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kenaikan itu sebagai menghargai sumbangan golongan berkenaan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Sukacita saya umumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

“Di samping itu, kerajaan negeri juga berharap agar Kerajaan Persekutuan akan turut menyambut baik inisiatif itu dan sekurang-kurangnya RM300 lagi bagi menjadikan elaun ketua kampung dan ketua masyarakat meningkat kepada RM1,500 sebulan,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini.

Kali terakhir elaun tersebut dinaikkan adalah pada 2019 iaitu daripada RM700 kepada RM900 yang diumumkan Menteri Besar ketika itu, Datuk Osman Sapian.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut memberitahu, kerajaan negeri juga akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas keadaan ekonomi dan hasil negeri pulih.


(Onn Hafiz Ghazi)


Media Baharu