fb fb fb fb fb

Elaun guru KAFA dibayar secara tunggakan bermula Januari

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 13 April-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan jaminan semua pembayaran kenaikan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan dibayar secara tunggakan bermula Januari tahun ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya akan menguruskan semua pembayaran berkenaan termasuk tunggakan sejak Januari lalu melalui Kerajaan Negeri sebaik sahaja peruntukan diterima.

Kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan pihak tertentu mengatakan bahawa bayaran bantuan one-off kepada imam, bilal dan guru KAFA tidak termasuk dalam senarai bantuan pihak kerajaan.

”Pembayaran kenaikan elaun guru KAFA akan dibayar secara tunggakan bermula Januari 2023 kepada semua guru KAFA di seluruh negara.

“Dengan kenyataan ini, JAKIM menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bantuan berkenaan tidak termasuk dalam senarai bantuan pihak kerajaan.

”Kami amat memahami kegusaran beberapa pihak mengenai pembayaran tersebut seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2023 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan elaun guru KAFA dinaikkan sebanyak RM100 menjadi RM1,100 untuk 35,000 guru-guru KAFA seluruh negara.
 
Manakala bayaran khas sebanyak RM600 akan disalurkan kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.


(Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff/FOTO RTM)

Media Baharu