fb fb fb fb fb

Elak ketirisan agihan zakat, perlu amanah dan tatakelola ketat  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

SERDANG, 9 November - Pengurusan Majlis Agama Islam, pusat-pusat zakat dan amil perlu memastikan agihan wang zakat dilakukan dengan penuh amanah kepada mereka yang berhak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kegagalan menguruskan agihan itu dengan baik boleh mengundang bahaya kepada pengendali dan institusi Islam.

"Mungkin ada satu atau dua atau tiga yang tidak amanah, mereka yang tidak boleh tahan dengan godaan dunia, duit zakat ini macam bom atom. Kalau kita salah guna, tidak guna dengan betul maka ia akan meletup.

" Ia akan menghancurkan diri kita mana-mana ada ruang kelompongan yang boleh menyebabkan berlakunya ketirisan dan saya akan mintalah kita akan agihkan dan simpan dan kawal dengan sebaik-baiknya dan ikut tatakelola yang seketat-ketatnya," kata Dr Na’im.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kali ke-17 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Baru-baru ini seorang pengerusi masjid di Terengganu ditahan reman kerana disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak bagi agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.

Sementara itu, pelajar penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Muhammad Harith Hazriq Mohd Rudyherman, bersyukur kerana jasa pembayar-pembayar zakat dapat membantu menampung perbelanjaan pengajiannya.

"Kepada seluruh pembayar zakat saya hendak ucapkan terima kasih kerana duit zakat anda telah membantu saya sampai ke tahap ini. Sebab sepanjang saya berada dekat sini saya tidak keluarkan banyak modal pun, tidak keluarkan banyak duit tetapi saya boleh berjaya seperti ini," kata Harith.

Seramai 765 graduan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur daripada golongan asnaf berjaya menamatkan pengajian masing-masing di peringkat sijil dan diploma pada tahun ini.

TETITIA YUSOFF