ALOR SETAR, 9 November - Penganjuran Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024 mampu mengangkat serta menyemarakkan seni budaya dan warisan negeri Kedah kepada segenap lapisan masyarakat.
Ini bukan sahaja kepada rakyat di negeri Kedah malah, kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Salleh Saidin berkata pengajuran TOK 2024 juga adalah salah satu usaha untuk merancakkan lagi industri pelancongan negeri itu.
Ini seiring dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan langkah awal memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Jadi kepada seluruh penduduk negeri Kedah, Pulau Pinang dan juga Perlis, saya menjemput ramai-ramai ke Temasya Oghang Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman ini.
"Bagi saya ini satu permulaan yang baik apabila melihat ramai orang datang sambutan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Temasya Oghang Kedah 2024 di sini pada Jumaat.
TOK 2024 berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu menampilkan pelbagai aktiviti seni,budaya dan warisan negeri Kedah.
Antara kelainan utama TOK 2024 adalah pengiktirafan Malaysia Book of Records: Pengiring Tetamu Kehormat Teramai dengan jumlah keseluruhan 1931 pesilat.
TOK 2024 turut dimeriahkan dengan persembahan Tarian Tradisional Inang Ghenek, persembahan artis jemputan dan Santapan Rohani Malam Kedah Berselawat Serata-Rata.