MERSING, 16 Ogos - Kementerian Pertahanan diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan lalu dalam pembelian aset ketenteraan, khususnya pesawat terpakai yang boleh mengancam nyawa juruterbang dan anggota tentera.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, pengalaman negara membeli pesawat terpakai Skyhawk sebelum ini seharusnya menjadi iktibar kerana akhirnya ia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam operasi ketenteraan negara.
"Saya juga telah minta Menteri Pertahanan agar membatalkan cadangan pembelian pesawat helikopter Blackhawk yang umurnya telah melebihi 35 tahun. Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat 'second hand' Skyhawk. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam keranda terbang...? Fikirlah," titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja bersempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar di sini.
Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.