fb fb fb fb fb

Eksport gula prai ke Singapura tidak jejas bekalan - KPDN Johor

Lilis Saslinda Pornomo

JOHOR BAHRU, 23 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan memastikan cadangan mengeksport produk Gula Prai ke Singapura tidak menjejaskan bekalan barangan keperluan asas itu di Johor.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, beliau yakin bahawa kerajaan akan meneliti cadangan itu terlebih dahulu di peringkat pusat untuk mendahului keperluan rakyat di negeri itu.

Beliau turut optimis pihak kementerian akan memastikan bekalan gula dalam negara mencukupi, sebelum dieksport.

"Apa-apa perkara, kerajaan akan mengutamakan rakyat. Jadi kita percaya perkara ini tidak akan berlaku. Perkara macam ini tidak akan mengganggu, sebab kita percaya keperluan rakyat Malaysia mencukupi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Peringkat Negeri di sebuah pasaraya di sini.

Pada 6 Disember lalu, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) bercadang mengeksport produk terbaharu dalam barisan produk Gula Prai iaitu gula putih premium Gula Super ke negara jiran tahun hadapan.

Dalam pada itu KPDN Johor merekodkan sebanyak 1,277 kes atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM7.21 juta sepanjang tahun ini. Sebanyak RM1.06 juta kompaun dikenakan melibatkan pelbagai kesalahan, menunjukkan peningkatan daripada lapan hingga 10 peratus berbanding tahun lepas.

Antara kesalahan dilakukan termasuk tidak mempamerkan tanda harga, harga dikenakan tidak sama dengan harga yang dipamerkan serta kes bekalan barangan disorok. Manakala kesalahan tertinggi dicatatkan di negeri itu adalah kes berkaitan harga serta penipuan alat timbang sukat.

"Saya percaya Johor juga antara negeri yang tertinggi dari segi penghasilan kes. Saya juga percaya rakyat mungkin tertanya-tanya, keberadaan KPDN Johor. Perkara ini disebabkan, kadang-kadang kita tidak kongsi perkembangan di media sosial.

"Kita juga beranggapan apabila berlaku kes tangkapan atau kes belum berlaku dan sebagainya, siasatan perlu dilakukan. Ia bukan sesuatu perkara yang mudah," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI