BAYAN LEPAS, 16 Disember - Penganjuran ekspo keusahawanan makanan dilihat sebagai platform berkesan dalam memperkukuh ekosistem sektor makanan dan minuman (F&B), khususnya bagi membuka peluang kepada usahawan baharu serta perusahaan kecil untuk menembusi pasaran.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata sektor berkenaan terus menarik minat golongan pemula dan suri rumah kerana kemasukannya yang lebih mudah, selain disokong ekosistem perniagaan yang kukuh.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usahawan baharu perlu memahami cabaran perniagaan serta model perniagaan yang mampan bagi memastikan kelestarian produk di pasaran, di samping meneroka kepentingan mendapatkan pensijilan halal.
“Bagi perniagaan baharu, mereka perlu melihat dan memahami cabaran serta model perniagaan produk yang boleh dibangunkan melalui platform seperti ini. Saya melihat sektor halal sebagai satu peluang besar kerana produk yang mempunyai pensijilan halal akan menikmati pasaran yang lebih luas berbanding produk tanpa pensijilan. Ini merupakan ruang yang wajar diterokai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Foodpreneur Expo 2025 di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Lepas.