fb fb fb fb fb

Eksesais TAMING SARI 22/23 bukti keupayaan kuasa tempur TLDM

Eksesais TAMING SARI 22/23 bukti keupayaan kuasa tempur TLDM

LANGKAWI, 15 Disember- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengadakan Eksesais TAMING SARI Siri 22 Tahun 2023 bagi menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem peluru berpandu di kapal serta tahap kompetensi warganya.

TLDM menerusi satu kenyataan memaklumkan, berikutan landskap geostrategik yang semakin mencabar ketika ini, pasukan itu memainkan peranan yang sangat penting untuk kekal relevan dalam konteks pertahanan maritim.

"Pelaksanaan Eksesais Taming Sari dapat mempamerkan keupayaan kuasa tempur TLDM, sekali gus membuktikan bahawa TLDM masih lagi berkeupayaan di arena pertahanan maritim dan mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara,"katanya.

Pada Eksesais Taming Sari Siri 22 Tahun 2023 yang berlangsung di utara perairan Selat Melaka semalam, sebanyak dua buah misil Exocet MM40 telah dilancarkan oleh kapal KD LEKIU yang berjaya tepat ke sasaran manakala KD LEKIR bertindak sebagai kapal penembak simpanan.

Bekas Menteri Pertahanan yang kini Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hadir sebagai tetamu khas menyaksikan eksesais itu dari KD MAHAWANGSA yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak,

Berkonsepkan "Force Integration Training" -FIT, aspek kebersamaan telah dizahirkan di dalam latihan itu melalui penglibatan sebanyak 14 buah kapal permukaan, lapan bot dan 12 pesawat dari TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia -TUDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Eksesais ini turut menguji keupayaan semua aset yang terlibat di samping memperagakan kehadiran angkatan pertahanan maritim negara di perairan Selat Melaka.

Eksesais yang bermula dari 4 hingga 16 Disember itu terbahagi kepada empat fasa iaitu Fasa Pelabuhan, fasa Pembersihan dan raptai penembakan, fasa hari penembakan dan fasa penutup.

Fasa penutup akan berlangsung di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi pada 15 hingga 16 Disember 2023.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE