fb fb fb fb fb

Ekosistem pelancongan perkukuh industri tempatan ke peringkat global

Nicole Tan Lee Koon

NILAI, 28 Disember - Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat membina satu ekosistem pelancongan disokong dengan himpunan produk tempatan di setiap daerah dalam usaha menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, ke arah itu ia memerlukan kerjasama erat antara pemain industri pelancongan untuk mewujudkan rangkaian lokasi dan produk pelancongan yang pelbagai, membolehkan pelancong menikmati pengalaman unik di setiap daerah.

Golongan pempengaruh dan 'Key Opinion Leader' (KOL) juga memainkan peranan penting dalam mengetengahkan usaha itu dan produk pelancongan sedia ada.

"Kalau setiap daerah ada satu hotel, kita boleh jadikan lokasi seperti di Rembau atau Pedas Wetworld sebagai hub atau pusat pengumpulan produk.

"Selepas itu, pengunjung boleh terus pergi ke aktiviti lain. Contohnya, di Pedas sendiri boleh ada paragliding, dan selepas itu ke Sungai Talan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Awam Bersama Penggiat Industri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan di sini.

Nicole Tan turut menambah bahawa kerajaan negeri kini sedang mengadakan rundingan dengan pengeluar makanan terbesar di negeri itu, termasuk kilang coklat, bagi menghasilkan produk yang melambangkan identiti Negeri Sembilan.

Usaha ini bukan sahaja menonjolkan warisan budaya dan tradisi, tetapi turut merangkumi sektor makanan dan produk tempatan, sekali gus meningkatkan daya tarikan Negeri Sembilan di peringkat global.

Dengan gabungan budaya, aktiviti pelancongan, makanan tempatan dan inovasi produk, Negeri Sembilan mampu tampil sebagai destinasi pilihan pelancongan bertaraf antarabangsa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI