LABUAN, 14 Disember - Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Labuan menyambut baik langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun depan bagi mengurangkan beban syarikat kecil dan sederhana (PKS) serta memberi ruang untuk menstabilkan operasi sebelum sistem itu dilaksanakan sepenuhnya.
Presiden SME Labuan, Jefery Tan berkata peningkatan ambang tersebut membantu peniaga menyesuaikan diri dengan kos operasi tambahan, sambil meningkatkan kecekapan dan pendigitalan perniagaan.
Beliau berkata hampir 40 PKS berdaftar di bawah persatuannya menyambut baik langkah kerajaan itu.
"Sebenarnya, impaknya di Labuan memang besar, terutamanya bagi perniagaan dengan jualan di bawah RM1 juta. Ketika ini, bukan sahaja e-invois, malah terdapat banyak lagi keperluan lain, menyebabkan kos pematuhan PKS menjadi mencabar.
"Pada peringkat awal pelaksanaan memang akan terasa sukar, namun apabila sistem ini digunakan sepenuhnya, ia sebenarnya mampu meningkatkan kecekapan operasi perniagaan", katanya.
Sementara itu, pengarah urusan di sebuah syarikat minyak dan gas, Joanita Joseph berpendapat pelaksanaan e-Invois bukan perkara baharu dan sistem ini dilihat mampu mengelak ketirisan dalam perniagaan serta kutipan hasil kerajaan.
“Jadikan ia sebagai satu sistem dan prosedur dalam menjalankan perniagaan.
"Apabila ambang dinaikkan, kesannya sebenarnya tidak begitu ketara sekiranya pelaksanaan telah dimulakan lebih awal, sebagaimana yang telah kami praktikkan.
"Pada pandangan saya, kenaikan ambang ini memberi kelegaan sementara kepada perniagaan kecil. Namun, cepat atau lambat, semua pihak tetap perlu melaksanakan e-Invois", katanya ketika di temui pemberita RTM.