fb fb fb fb fb

BN belum putuskan calon kerusi DUN Lamag, Parlimen Kinabatangan

FOTO FB ZAHID HAMIDI

SEMENYIH, 14 Disember - Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan calon yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, memandangkan BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah, tidak mustahil parti itu mengadakan rundingan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah dengan parti-parti lain yang bertanding di kawasan berkenaan.

"Kita akan berunding sebab rakyat telah letih dan banyak masa digunakan dalam pilihan raya negeri lalu, jadi kalau perundingan dengan semua pihak itu dapat dilakukan itu adalah keadaan lebih baik.

"Ini kerana tempoh Parlimen akan datang berbaki tidak melebihi 24 bulan, jadi kalau perundingan itu dapat mengatasi apa-apa sahaja pertimbangan untuk meletakkan calon, maka tentu perundingan itu lebih baik dan diutamakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) kali ke-33 di sini, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas susulan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Sabah, selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini, Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 135 undi dalam saingan enam penjuru.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM