fb fb fb fb fb

DWN 2025–2030 fokus tangani isu keganasan rumah tangga

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 2 September – Dasar Wanita Negara (DWN) 2025–2030 memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan wanita, termasuk usaha memperkukuh inisiatif menangani keganasan rumah tangga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelbagai strategi digariskan bagi memperluas perlindungan sosial kepada mangsa, meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta memperbanyakkan program advokasi penghapusan keganasan terhadap wanita.

“Antara inisiatif yang digariskan termasuk memperkenalkan subindeks keselamatan wanita dalam Indeks Keselamatan dan Ketenteraman Awam, memperluas perlindungan sosial kepada mangsa keganasan rumah tangga, memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui pegawai dan komuniti sokongan, serta meningkatkan bilangan program advokasi penghapusan keganasan terhadap wanita,” katanya.

Beliau menegaskan, pelaksanaan DWN dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025–2030 turut disokong oleh undang-undang sedia ada, termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta Akta Antigangguan Seksual 2022 yang menubuhkan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) sebagai platform khusus menangani aduan gangguan seksual.

Tambahnya, komitmen bersepadu semua pihak amat penting bagi menjayakan dasar serta pelan tindakan ini, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai negara progresif dalam memperjuangkan hak dan keselamatan wanita.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara, hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE