fb fb fb fb fb

DVS nasihat pengusaha ladang babi tingkat kawalan biosekuriti

KOTA BHARU, 8 Januari- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menasihatkan pengusaha ladang babi di negara ini supaya meningkatkan kawalan biosekuriti ladang dan mengambil langkah pencegahan.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Dr Suratan Kamarudin berkata, tindakan itu susulan penyakit demam babi Afrika (ASF) yang dikesan di dua ladang ternakan haiwan itu di Pulau Pinang.

"Kita minta pemilik ternakan untuk meningkatkan kawalan biosekuriti ladang. Selalunya penyakit ini datang daripada luar, jadi pihak ladang perlu pastikan tiada sumber daripada luar masuk ke dalam ladang.

"Mengikut daripada pengalaman sebelum ini, kadang-kadang jangkitan berpunca daripada sisa makanan, sisa produk daripada babi atau sebagainya yang dibawa masuk ke ladang menyebabkan penyakit tersebut merebak ke dalam ladang kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir di Pejabat DVS Kelantan di sini.

Setakat ini pihak DVS masih belum menerima sebarang aduan jangkitan penyakit ASF di negeri-negeri lain.

Namun, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan dan pemeriksaan pemantauan di negeri berisiko yang lain seperti Selangor, Perak dan Johor yang mempunyai ladang ternakan babi yang besar.

Menurut DVS ternakan di ladang yang disahkan positif perlu dimusnahkan dalam pelaksanaan program kawalan penyakit terbabit.

(Suratan Kamarudin)

Media Baharu