fb fb fb fb fb

Dua warga emas maut nahas dua kenderaan

Dua warga emas yang terkorban merupakan pemandu dan penumpang sebuah kenderaan (kiri)

PADANG BESAR, 16 Februari- Dua warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di hadapan Klinik Kesihatan Padang Besar di sini, kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Shokri Abdullah berkata mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang dalam sebuah kenderaan, sementara tiga individu lain cedera termasuk pemandu sebuah lagi kenderaan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan mangsa yang maut membelok ke kanan dari arah Simpang Tiga Klinik Kesihatan Padang Besar sebelum dirempuh kenderaan kedua yang gagal mengelak dan melanggar bahagian kanan kenderaan itu.

Pemandu lelaki, seorang peniaga dan penumpang wanita yang merupakan suri rumah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian pinggul serta patah tulang rusuk.

Seorang lagi penumpang wanita dalam kenderaan sama kini menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Fauziah, manakala seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

Pemandu kenderaan kedua yang bekerja di sebuah kedai makan berada dalam keadaan stabil di zon hijau hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

1602 KGR WARGA EMAS MAUT KEMALANGAN 2
Sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di hadapan Klinik Kesihatan Padang Besar malam tadi

SITI AISHAH MD ISA