HULU SELANGOR 3 Mei: Seorang wanita dan lelaki terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 39 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di Serendah, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, nahas pukul 4.35 petang itu membabitkan sebuah kereta Proton Saga, treler dan lori tangki.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Selayang ke Batang Kali. Tiba di lokasi, Proton Saga itu dilanggar dari belakang oleh lori tangki dipandu lelaki berumur 57 tahun.
“Kemudian kenderaan berat itu memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan treler,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Asri berkata, semua pemandu tidak cedera.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu tampil bagi membantu siasatan,” katanya.