KUCHING, 3 MEI – Pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang berkuat kuasa 1 Mei lalu diperluas kepada semua kategori pekerjaan. Ini termasuk memperkenalkan peruntukan baharu berkaitan gangguan seksual dan diskriminasi di tempat kerja.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala berkata, meskipun tiada laporan rasmi diterima setakat ini, pekerja perlu sedar bahawa mereka kini mempunyai hak undang-undang untuk melaporkan gangguan tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas penglibatan kerajaan negeri dalam rundingan pindaan tersebut yang menurutnya penting bagi menjaga kepentingan unik Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Datuk Gerawat yang juga ADUN Mulu memaklumkan, projek cadangan jalan sempadan Long Banga–Bario–Ba’kelalan sepanjang 133 kilometer masih di peringkat kajian. Projek itu dijangka menghubungkan Sabah, Sarawak hingga ke Lubok Antu dan penting untuk keselamatan sempadan.
Tambah beliau, sebanyak RM1.5 bilion telah diluluskan kerajaan negeri kepada Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) bagi menaik taraf 400 kilometer bekas jalan balak di Baram.
Namun masih banyak laluan perlu dipertingkat untuk menghubungkan komuniti pedalaman.