BETONG, 12 Februari- Dua remaja dilaporkan lemas ketika bermandi-manda di sungai berhampiran Rumah Panjang Batu Lintang Jalan Ulu Layar, Betong, semalam.
Menurut kenyataan Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba, panggilan diterima pada pukul 3.53 petang dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digegaskan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Norman Syakimie Suria Ariffin dan Afiq Aiman Mohd Adress, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun.
“Sampai di lokasi kejadian, mangsa (Norman Syakimie) ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan.
“Mangsa seterusnya (Afiq Aiman) ditemukan pada 6.44 petang dan disahkan meninggal dunia apabila Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Betong melakukan selaman ke dasar sungai pada kedalaman lima meter dalam operasi pencarian selama 15 minit,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan berdasarkan maklumat orang awam yang berada di lokasi, mangsa bersama rakan-rakannya melakukan aktiviti riadah dan mandi di sungai berhampiran rumah panjang berkenaan.
Operasi tamat pukul 7.04 malam manakala kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.