PADANG SERAI, 10 Mei-Dua buah pondok haram yang dijadikan sebagai sarang menjual air ketum di Padang Serai, Kedah, dirobohkan.
Ia hasil “Op Roboh” yang dilakukan oleh Polis Daerah Kulim bersama Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Redzuan Salleh berkata, operasi yang disertai kira-kira 70 pegawai dan anggota agensi berkaitan dilakukan di Taman Ria dan Taman Serai Wangi.
Dalam operasi tersebut, kedua-dua pondok dan premis haram ini dirobohkan menggunakan beberapa buah jentera.
Manakala bekalan air dan elektrik ke premis terbabit turut dipotong kerana didirikan tanpa kebenaran serta melanggar Seksyen 72 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Jelas Supritendan Mohd Redzuan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kulim telah beberapa kali melakukan serbuan ketas kedua-dua premis terbabit kerana menjual air ketum.
Pihak MPKK juga telah memberikan notis kepada kedua-dua gerai tersebut iaitu notis meruntuh pada 25 Januari 2023 dan notis mengosong premis pada 27 Februari lalu tetapi tidak diendahkan oleh pemilik.
"Kepada premis-premis yang menjalankan kegiatan penjualan air ketum, saya memberi amaran supaya menghentikan penjualan itu kerana kita akan ambil tindakan yang sama mengikut segala peruntukkan undang-undang yang ada", katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi merobohkan salah sebuah premis terbabit di Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kulim.
(Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Redzuan Salleh/Foto RTM)