LANGKAWI, 23 Oktober -Dua pelancong lelaki ditemukan maut selepas dipercayai lemas dibawa arus ketika mandi di Pantai Cenang, di sini, petang semalam.
Mangsa masing-masing berusia 38 dan 46 tahun itu merupakan saudara ipar yang berasal dari Selangor.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang dan pihak polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 6.05 petang.
"Mangsa telah diselamatkan oleh orang ramai menggunakan jet ski dan dibawa ke pesisir pantai sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha dan disahkan telah meninggal dunia," katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai dinasihatakan supaya sentiasa berwaspada dan elakkan daripada melakukan aktiviti air ketika ombak besar serta angin kencang selain memakai jaket keselamatan jika melakukan aktiviti berkenaan," katanya.