MELAKA, 23 Oktober -Polis Melaka melakukan operasi pemeriksaan di semua 336 sekolah di seluruh negeri bermula hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemeriksaan meliputi semakan terhadap kandungan telefon bimbit, barangan terlarang serta beberapa aspek lain yang boleh mempengaruhi disiplin pelajar.
Katanya, pihak polis akan mengambil pendekatan lebih tegas supaya pelajar berasa takut untuk terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau salah laku
"Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memantau anak-anak. Jangan benarkan mereka membawa telefon bimbit atau barangan terlarang ke sekolah. Sudah sedia maklum bahawa barangan ini tidak dibenarkan, namun jika ibu bapa tidak mengambil berat atau tidak memeriksa beg sekolah anak-anak, perkara seperti ini akan terus berlaku.
"Anak-anak perlu dipantau dengan baik kita tidak boleh mengharapkan guru semata-mata. Sebagai contoh, di sekolah ini terdapat kira-kira 1,500 pelajar tetapi hanya 78 orang guru. Untuk mengawal semua pelajar dalam jumlah yang ramai itu memang sukar, dan tidak mustahil ada segelintir yang terlepas daripada perhatian dan membawa barangan terlarang.
Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif untuk memastikan anak-anak datang ke sekolah tanpa membawa barangan yang dilarang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sebuah sekolah di Bukit Baru, di sini.
Tambahnya, pemeriksaan atau spot check akan dijalankan secara berterusan di semua sekolah di negeri Melaka.