BETONG, 1 Januari – Dua maut, manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta di Jalan Lubok Antu, di sini, petang tadi.
- Dua penumpang pacuan empat roda maut dalam kemalangan di Jalan Lubok Antu petang tadi.
- Sembilan lagi cedera; beberapa mangsa dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan anggota penyelamat.
- JBPM Betong membersihkan sisa kemalangan dan tumpahan minyak, mangsa cedera diserah kepada KKM.
Mangsa yang maut ialah seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima Balai Bomba dan Penyelamat Betong pada pukul 3.30 petang sebelum menggerakkan lapan anggota ke lokasi kejadian.
“Pacuan empat roda dinaiki seramai tujuh orang termasuk dua mangsa yang maut, manakala kereta dinaiki empat orang masing-masing dua lelaki dan wanita,” menurut kenyataan itu.
Sebahagian mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
Mangsa yang cedera diserah kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Pihak bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.