fb fb fb fb fb

Dua lokasi di Johor, diisytihar sebagai Hab Perdagangan Koko negara

ISKANDAR PUTERI, 26 September- Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), diisytihar sebagai Hab Perdagangan Koko Negara.

Lokasi berkenaan berpotensi kerana kemudahan infrastruktur lengkap, tenaga kerja mahir mencukupi, serta jaringan domestik yang baik.

Pemilihan bertujuan memudahkan proses pengimportan biji koko dan menyelesaikan isu - isu kualiti produk bagi membendung penahanan konsainan.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata hab tersebut juga dilengkapi makmal fasiliti bagi menjalankan saringan untuk mengesan perosak buah koko dan menjalankan verifikasi keperluan pengimportan biji koko. Selain dari itu, ia juga bagi memantau serta mengesan projek berkaitan koko.


(Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi
Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng)

"Makmal itu yang saya katakan, yang kita baru sedar, dulu apa-apa kemasukan mesti melalui MAQIS, pertanian. Jadi ini proses kita akan bincang, bekerjasama dengan MAQIS, sebab MAQIS untuk makmal ini ada di Seri Kembangan sahaja. Jadi kalau kerjasama itu diwujudkan, diadakan, maka ia dapat dikurangkan. Proses itu memakan masa", katanya.

Menurutnya, Hab Perdagangan Koko boleh diperluas ke negeri-negeri lain berpandukan kepada prestasi dan keperluan semasa.

Selain itu, Kajian Kemungkinan Pembangunan Ekosistem Kondusif Industri Hiliran Koko sedang dijalankan bagi menarik minat pelabur dan meningkatkan peluang pelaburan dalam industri koko.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu satu kerjasama antara Lembaga Pelabuhan Johor dan Lembaga Koko Malaysia ditubuhkan bagi membangunkan ekonomi negara, terutama sektor koko.

Media Baharu